08 February 2013

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN DESA PUTRA






Sejarah Sekolah Kebangsaan Desa Putra
Sekolah Kebangsaan Desa Putra, 43000 Kajang dibina dalam tahun 1964 di kawasan Rancangan Tanah berkelompok Sungai Merab Dalam. Hanya satu blok sekolah sahaja dibina pada tahun 1964 iaitu blok A yang terdapat sehingga hari ini. Nama asal Sekolah Kebangsaan Desa Putra (SKDP) ialah Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Dalam, Kajang, Ulu Langat atau lebih dikenali sebagai oleh penduduk setempat ketika itu sebagai Sekolah Kebangsaan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).

Pembukaan rasmi bangunan pertama telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor ketika itu Encik Harun b. Hj. Idris, SMS pada hari Rabu 29 Julai 1964 bersamaan dengan 19 Muharam 1384. Nama Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Dalam telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Desa Putra pada tahun 1993.

Dari tahun penubuhannya hingga sekarang, sekolah ini telah ditadbir oleh sembilan orang guru besar.
Pembinaan bangunan yang lain dijalankan secara berperingkat-peringkat. Sebagai contoh pada tahun 1971, pembinaan blok sekolah yang kedua (Blok B), kantin dan tiga buah rumah guru dibina secara serentak untuk kemudahan pelajar dan guru. Sehingga kini. Sekolah Kebangsaan Desa Putra mempunyai 6 blok bangunan dan 9 buah rumah guru.
Pada tahun pembukaannya, sekolah ini mempunyai bilangan guru antara 8 ke 10 orang sesuai dengan bilangan pelajar pada ketika itu yang tidak melebihi 200 orang. Bilangan kelas pada ketika itu hanyalah sebanyak 3 buah kelas dan tenaga pengajarnya hanya terdiri dari guru lelaki. Seiring dengan penubuhan dan pembangunan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berhampiran dengan SKDP, beberapa buah taman perumahan telah dibangunkan berhampiran dengan Desa Putra. Ini menyebabkan SKDP telah mengalami pertambahan pelajar yang ketara pada tahun 2003. Sehingga kini jumlah pelajarnya melebihi 780 orang dengan bilangan guru melebihi 50 orang.


No comments:

Post a Comment